-->

Tuesday, July 3, 2007

Punca Perbuatan Maksiat

Punca Perbuatan Maksiat Dan Keperluan Bersegera Taubat
Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Al-Nu'man Bin Basyir r.a. bahawa beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Perkara Yang halal adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar), yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menghindari perkara-perkara yang syubhat(yang samar), maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya, dan sesiapa yang jatuh pada perkara-perkara yang syubhat, maka ia pasti jatuh pada yang haram. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir ia memasukinya. Sesungguhnya setiap kerajaan mempunyai kawasan larangan. Ketahuilah bahawa di dalam jasad ada segumpal daging, yang jika ia elok maka eloklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa ia adalah hati".

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda 194.

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kebaikan akhlak".

Perkataan akhlaq adalah plural daripada khuluq yang dari segi bahasa bererti perangai, tabiat, adat, maruah dan agama. Adapun dari segi istilah, Ibnu Miskawaihi mentakrifkan khuluq sebagai sifat yang mantap di dalam jiwa yang mengajaknya kepada melakukan perbuatan tanpa berfikir.

Imam Ghazali195 pula mentakrifkannya sebagai satu bentuk atau keadaan (hai'ah) yang tetap atau melekat di dalam jiwa, yang daripadanya keluar perbuatan-perbuatan dengan mudah, tanpa berfikir. Apabila daripada hai'ah tersebut keluar perbuatan-perbuatan yang baik lagi terpuji, sama ada mengikut pandangan syara' atau akal, maka hai'ah tersebut disebut akhlaq yang baik. Tetapi apabila daripada hai'ah itu keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka hai'ah tersebut disebut akhlaq yang buruk.

Sifat dalam jiwa dan kesannya pada anggota badan

Jadi akhlak mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas Suluk atau tingkah-laku dan perbuatan-perbuatan yang keluar daripada manusia. Imam Ghazali menyatakan bahawa setiap sifat yang ada di dalam jiwa atau hati akan nampak kesannya pada anggota-anggota badan, sehingga anggota-anggota badan tersebut tidak bekerja melainkan mengikut sifat yang ada di dalam jiwa atau hati tersebut.

Dengan demikian, jelaslah bagi kita bahawa punca daripada segala perbuatan manusia, sama ada yang baik atau pun yang buruk, sama ada berupa kebajikan ataupun ma'siat, pahala atau dosa, adalah datang daripada sifat-sifat yang ada di dalam jiwanya.

Imam Ghazali berkata bahawa manusia mempunyai sifat-sifat yang banyak, tetapi yang menjadi punca perbuatan ma'siat atau dosa ada empat sifat, iaitu: sifat rububiyah (ketuhanan), sifat syaitaniyah (kesyaitanan), sifat bahimiyah (kebinatangan), dan sifat sabu'iyah(kebuasan). Hal yang sedemikian disebabkan kerana perwatakan manusia diadun daripada campuran yang bermacam-macam. Setiap satu daripada campuran dalam adunan tersebut mempunyai kesannya.

Pertama: Dari kumpulan sifat-sifat rububiyah muncullah sekumpulan daripada dosa-dosa besar, seperti riya', sukakan pujian, takabbur, cintakan kedudukan, kepimpinan dan pengaruh, suka memaksa, sukakan kekayaan, menghinakan atau merendahkan orang lain dan lain-lain seumpamanya.

Abu Daud, Ibnu Majah, dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasullah SAW bersabda:

"Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kesombongan itu adalah pakaianKu, dan kebesaran itu adalah selendangKu. Barangsiapa yang menyaingi Aku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam neraka".

Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda.

"Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah daripada kesombongan".

Kedua: Dari sifat-sifat syaitaniyah muncul sifat dengki,zalim, muslihat, tipu, mengajak kepada kerosakan dan kemungkaran, hipokrit, menyeru kepada bid'ah dan kesesatan, dan seumpamanya.

Ketiga: Dari sifat-sifat bahimiyah muncul sifat tamak, rakus, garang, gemar memuaskan syahwat, yang muncul daripada zina, liwat(homosek), mencuri, memakan harta anak yatim dan lain-lain seumpamanya.

Keempat: Dari sifat-sifat sabu'iyah(buas) muncul sifat marah, dendam, menceroboh, bergaduh, memaki, membunuh dan memusnahkan harta.

Kemunculan sifat-sifat ini adalah secara beransur-ansur.Mula-mula yang dominan adalah sifat bahimiyah, kemudian sifat sabu'iyah. Apabila berkumpul kedua sifat tersebut, mulailah keduanya memanipulasikan akal dalam menipu, membuat helah, yang merupakan sifat-sifat syaitaniyah.Kemudian, yang terakhir dominan ialah sifat-sifat rububiyah, iaitu sifat megah, bongkak, suka meninggi diri, suka dipuji, gila kuasa, gila pangkat dan seumpamanya.

Inilah punca utama yang menjadi sumber perbuatan dosa, yang daripadanya mengalir ke anggota-anggota badan, sebahagiannya ke dalam hati khususnya, seperti kufur,nifaq,menyembunyikan kejahatan, sebahagiannya ke perut dan kemaluan, sebahagiannya ke tangan dan kaki, dan sebahagiannya ke seluruh badan.

Dosa-dosa ini terbahagi kepada dosa antara hamba dengan Allah SWT, seperti meninggalkan solat, puasa dan kewajiban-kewajiban khusus, dan dosa yang berkaitan dengan hak-hak manusia, seperti tidak membayar zakat, membunuh,merampas harta, memaki, dan lain-lain. Kemudian ia juga terbahagi kepada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil, yang mengenainya terdapat perbezaan pandangan yang terlalu banyak untuk dihuraikan disini.

Hanya sebagai panduan, dikemukakan beberapa perkara untuk dijadikan pegangan:

Pertama: Dosa kecil menjadi besar kerana beberapa sebab, di antaranya ialah jika dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan:

"Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan".

Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil yang dilakukan secara berterusan.

Kedua: Perbuatan dosa menjadi besar jika dianggap kecil, tetapi, sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah SWT, kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpalingnya hati daripadanya.

Sebahagian ulama berkata: Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya.

Ketiga: Dosa kecil menjadi besar dengan disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.

Keempat: Dosa kecil menjadi besar dengan menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azabNya.

Kelima:Dosa kecil menjadi besar dengan dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya, atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.

Keenam: Dosa kecil menjadi besar apabila dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti oleh masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.

Hukum dan keutamaan taubat

Bertaubat hukumnya adalah wajib dengan segera dan diberi pahala, kerana ia adalah perkara yang diperintah.

Di dalam surah Al-Nur: 31, Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, mudah-mudahan kamu beruntung".

Di dalam surah Al-Tahrim: 8, Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal salih) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan disebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ke atas segala sesuatu".

Dalam ayat di atas disebut perkataan 'taubatannasuha'.

Qatadah berkata: Al-nasuh al-sadiqah, al-nasihah, maksudnya adalah yang benar. Ada juga yang mengatakan bahawa al-nasuh ertinya al-khalisah, bererti yang ikhlas, atau yang murni.

Al-Farra' berkata: Nasuha daripada sifat taubat; maknanya taubat yang menasihati pelakunya untuk tidak kembali kepada perbuatan yang ia bertaubat daripadanya. Al-Kilabi r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh: penyesalan dengan hati, istighfar (minta ampunan) dengan lidah, meninggalkan dosa (dengan badan), dan bertekad untuk tidak kembali(kepada dosa yang dilakukan).

Said bin Jubair r.a. berkata: Al-tawbah al-nasuh ialah taubat yang diterima, dan tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima taubat selama belum terpenuhi tiga syarat: perasaan takut tidak diterima, mengharap agar diterima dan istiqamah dalam ketaatan.

Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah, Nu'man bin Basyir, Abdullah bin Mas'ud dan Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah lebih gembira dengan taubat seseorang daripada kamu daripada seorang lelaki yang berada di tanah lapang yang sunyi, yang berbahaya, bersamanya untanya yang di atasnya perbekalan, makanan, minuman, dan segala keperluannya. Kemudian untanya hilang, maka iapun keluar mencarinya, sehingga apabila ia (berputus asa) dan merasa akan mati, maka ia berkata: Aku akan kembali ke tempat di mana aku kehilangan untaku supaya aku mati di sana. Kemudian iapun kembali ke tempatnya, maka matanya dikalahkan oleh rasa mengantuk dan iapun tertidur, kemudian ia bangun dan tiba-tiba ia jumpai untanya berada di hadapannya di atasnya makanan, minuman dan segala yang diperlukannya".- Petikan dari kitab; "Perjalanan Rabani: Merentas alam dunia, barzakh dan akhirat".

[+] Read More

Tuesday, May 1, 2007

Warkah tazkirah buat Tan Sri

Menemui Tan Sri Khalid Ibrahim dengan segala doa dan limpah kerahmatan dariNya.

Tan Sri,

Baru agak sebentar Tan Sri cuba untuk berjinak-jinak dengan dunia pembangkang dan Tan Sri sudah dapat merasai pahit gigitannya. Kami sudah puluhan tahun dijeruk dalam tempayan penderaan ini. Cukuplah Allah yang menjadi saksinya.

Usahkan kita nak bercakap soal pembelaan Islam dan umat Islam, membela nasib bangsa Melayu melalui demokrasi sekali pun, kita akan menyaksikan satu laluan berhalang yang teramat sukar.

Apa yang menyayatkan hati lagi ialah ia hampir sah sengaja dilakukan. Ini cukup dapat disaksikan dalam plihan raya kecil di Ijok baru semalam.

Dalam konteks demokrasi, rugi sangatkah jika Dewan Undangan Negeri Selangor memberi ruang kepada minoriti pembangkang? Hatta, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menegur tentang ‘tidak betulnya’ sesebuah sistem berkerajaan jika kerajaan yang di pilih(?) itu terlampau-lampau kuat.

Tanpa sebuah kerusi pun yang dibenarkan, maka siapa agaknya yang mampu menyemak parti yang membentuk kerajaan itu dari melakukan kesilapan? Beliau seorang tokoh bergelar Tan Sri dan bukan sebarang budak kampung yang biasa.

Dalam hal ini, mungkin sangat bermanafaat kita merenungi maksud ayat Allah SWT mengenai tiga orang Rasul yang dibunuh oleh kerajaan yang zalim kerana mengamalkan sikap enggan menerima nasihat.

Ini kebenaran sejarah dan tercatat sendiri di dalam al-Quran. Ia berbunyi, “Utusan-utusan itu berkata: kemalangan itu adalah kerana kamu sendiri. Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.“ (Surah Yasin Ayat 19).

YBhg. Tan Sri,

Pada saya, pilihan raya kecil Ijok sebenarnya semacam kesempatan. Kesempatan itu semacam diatur oleh Allah SWT untuk memberi peluang kepada pemimpin Umno dan seluruh warga pengundi Ijok untuk memperbaiki semula dasar angkuh Selangor yang menolak Islam dan sekali gus doktrin demokrasi berbunyi “pembangkang sifar”.

Tak bolehkah Ijok sekadar dibiarkan kerusinya untuk pembangkang. Maksud saya, bukan diberi percuma sebegitu tetapi dipertandingkan dengan cara yang sihat.

Ini, sampai membawa bala tentera polis dan FRU yang beribu-ribu. Mengugut pengundi di sana sini. Amalan gangsterisme. Ada tertangkapnya dua bas yang disyaki membawa pengundi hantu dari Perlis.

Curahan peruntukan raksasa yang melebihi RM36 juta. Ini demokrasi atau apa? Tak mungkin Umno tak faham betapa semua amalan ini adalah perbuatan kontra demokrasi yang terkutuk dan hina sehina-hina!

Jika saya dibenarkan menggunakan ‘pisau tumpul’ untuk memotong di ketika ini maka saya akan mengatakan yang pemimpin-pemimpin Umnolah yang selama ini bertanggungjawab mengeraskan hati rakyat Malaysia dari menerima kebenaran Allah.

Jika calon KeADILan kita menang sekali pun, apa sangatlah yang kurangnya Selangor itu. Sehabis kuat, Tan Sri Khalid kita akan hanya bertazkirah, menegur dan berpesan-pesanan darihal kebaikan.

Selaku seorang yang berkepakaran di bidang ekonomi dan korporat, tentu sekali penguasaan ilmu Tan Sri adalah aset yang sangat besar untuk dikongsikan oleh Selangor dalam konteks mendengar pandangan kedua dari arah yang sedikit berlainan.

Ini tentu akan mencetus satu proses ‘check and balance’ yang sihat untuk membela nasib orang Melayu, orang Islam, non-Islam dan umat manusia pada amnya.

Cuba pemimpin Umno buat perbandingan sedikit dengan apa yang sedang berlaku di White House hari ini. Lapan calon Demokrat telah sebulat suara mengutuk Presiden Bush berhubung dasar beliau di Iraq.

Ini berikutan daripada kekalahan pihak Republikan di tangan Demokrat yang semakin menyisihkan Bush.

Bahkan, dalam perbahasan kempen pertama disiarkan menerusi televisyen sebelum pemilihan Presiden 4 November 2008, calon Demokrat membidas pentadbiran Bush kerana terus menghantar beribu-ribu askar AS dan membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk kempen Perang Iraq yang menuju kegagalan.

Berita ini ada dalam semua akhbar pada 28 April 2007. Nah, kita boleh lihat bagaimana berbeda sekali amalan demokrasi di tempat orang berbanding dengan di tempat kita.

Di peringkat ini, saya tidak perlulah menghukum betapa kunonya kita sebab Tan Sri sendiri, seluruh penduduk Ijok dan rakyat Malaysia pada amnya telah sempat menyaksikan segala adegannya. Ia jelas sebuah demokrasi olok-olok di mana Islam diperolok-olokkan.

Jika mulialah apa yang dilakukan kerajaan Umno di Ijok itu, kenapa tidak dibenarkan mana-mana pasukan pemantau pelaksana demokrasi peringkat dunia untuk menjadi saksi.

Sebenarnya, kita telah tersalah memakaikan lencana dacing yang bersimbolkan keadilan dunia dan demokrasi ke dada pemimpin Umno. Rupanya, mereka cuma berwajah demokrasi tetapi berjiwa ‘komunis’.

Mereka boleh dikatakan hampir kering kontang dari segi nilai iman dan hari pembalasan di akhirat. Itulah Tan Sri; apa yang mungkin saya boleh simpulkan.

Pemimpin Umno perlu ingat bahawa segala yang dilakukan di Ijok itu ada divideokan oleh Allah SWT. Jangan ingat, pihak Special Branch (SB) dan polis rahsia Umno sahaja yang membuat rakaman.

Bahkan, mereka perlu di ingatkan dengan ayat Allah yang bermaksud, “pada hari di ketika mereka dibangkitkan Allah semuanya, lalu diberitakan Nya, kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpul (mencatat) amal perbuatan (dan aktiviti) itu, padahal mereka melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (Surah Al-Mujadalah Ayat 6).

Tan Sri,

Saya sekadar berpesan kepada Tan Sri. Saya cuma mengambil kesempatan untuk bertazkirah melalui surat terbuka ini untuk dibaca oleh semua. Tahniah jua dari saya di atas keberanian dan ketabahan Tan Sri untuk mengharungi ujian yang getir ini.

Lagi pun, mengikut bacaan, undi di Ijok untuk PKR sudah bertambah sebanyak 471 undi. Syabas saya ucapkan. Sesungguhnya, kerja memikul kebenaran ini adalah satu tugas berat.

Hanya Nabi-Nabi, Rasul-Rasul dan para anbiya’ yang diikuti oleh pejuang-pejuang seperti kita termasuklah seperti Tan Sri yang mampu memikulnya, InsyaAllah. Pantang berundur. Kuatkan semangat. Seorang mukmin adalah seorang yang tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa. Wallahua’lam.

Nik Abdul Aziz Nik Mat.

[+] Read More

Friday, March 16, 2007

Risalah Nabi Yang Amanah

Sejak 1370 tahun yang lalu, Muhammad bin Abdullah, Nabi yang ummi telah menyeru di atas kemuncak bukit Sofa, Mekah, maksudnya: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya saya adalah pesuruh Allah kepada kamu sekelian, Tuhan yang memiliki seluruh langit dan bumi, tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan.Berimanlah kamu dengan Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang telah beriman dengan Allah dan kalimahNya. Turutlah kamu sekalian kepadaNya moga-moga kamu mendapat petunjuk". - Al-A'raf :158

Dakwah yang merangkum itu menjadi garis pemisah bagi seluruh alam. Pemisah antara zaman yang gelap gelita dengan zaman yang akan datang yang bersinar dengan cahaya dan bahagia abadi. Dakwah ini juga menjadi satu pengisytiharan yang terang dan nyata terhadap satu system yang baru yang disyariatkan Allah yang amat mengetahui dan amat bijaksana. Ia disampaikan oleh pesuruhNya Muhammad saw, pembawa khabar gembira dan pengingat manusia bersama kitabNya al Quran yang terang dan bersinar, juga bala tenteranya yang dahulu yang terdiri daripada orang- orang muhajirin dan ansar dan pengikut-pengikut jejak langkah mereka dengan penuh ihsan. Dakwah ini bukan satu ciptaan manusia, ia adalah ciptaan Allah yang tidak ada ciptaan yang lebih baik selain dari-Nya.

Firman Allah, maksudnya, "Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah al kitab (al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan al Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaannya segala apa-apa yang ada di langit dan apa yang di bumi, ingatlah bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan".
-as Syura:52-53

[+] Read More